Blog

VIRAL-INOVASI SMKPA MEMBANGGAKAN TERENGGANU

Kumpulan Inovasi SMKPA bersama guru bergambar dengan pingat emas dan produk inovasi ciptaan mereka. (Foto : Harian Metro)

Produk Penapis Air untuk Rawatan Sisa Industri Batik hasil inovasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam (SMKPA), Kuala Terenggau meraih pingat emas di Pertandingan Pameran Harta Intelek, Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa di Bangkok, Thailand, kelmarin.

Kemenangan itu sekali gus mengenepikan 2,000 penyertaan dari 22 negara bagi merebut pengiktirafan bagi kategori alam sekitar dan menjadi sekolah harian biasa pertama mengunggulinya.

Kumpulan itu disertai pelajar Tingkatan Lima iaitu Rushdina Sofea Rushdan, Nur Salsabila Abdul Rahman, Siti Nabilah Syahirah Roslan, Muhammad Ajwad Mohd Zamri dan Abi Aamar Arshad.

Pengetua SMKPA Mohd Talib Abdul Wahab berkata, sebelum ini produk inovasi itu cemerlang di pertandingan 11th European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2019) Romania dengan empat anugerah.

“Kali ini kejayaan sama berulang di Bangkok seterusnya memberi keyakinan kepada SMKPA untuk menjadikan produk berkenaan bagi dipasarkan untuk kegunaan industri.

“Alhamdulillah, syarikat pengeluar batik terbesar di Terengganu iaitu Noor Arfa Batik sudah menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan kami,” katanya ketika ditemui di SMKPA, Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Talib berkata, produk itu akan disediakan mengikut kesesuaian bagi kegunaan industri bersaiz lebih besar.

“Sebanyak 98.3 peratus kotoran iaitu sisa pewarna batik dapat disingkirkan dengan menggunakan alat itu berbanding ciptaan pertama hanya 93 peratus pada 2018.

“Bukan sahaja sesuai digunakan untuk penyingkiran sisa pewarna batik, tetapi boleh digunakan untuk merawat air sungai tercemar dan air sisa kumbahan,” katanya.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak termasuk pensyarah kejuruteraan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Abdul Rahman Hassan, Ketua Projek Wan Salasiah Wan Sulaiman dan Fauziah Md Nor yang membantu menjayakan projek berkenaan.

Sementara itu, ketua kumpulan berkenaan Abi Aamar berkata, dia dan rakannya tidak menjangka memenangi emas berikutan penyertaan sekolah yang terbaik dari seluruh negara.

“Kami sudah buat yang terbaik, berkorban masa dan tenaga untuk menghasilkan produk itu.

“Berasa berbaloi apabila produk yang dicipta hanya menggunakan bahan buangan semulajadi tempatan berjaya meraih emas di pertandingan berkenaan,” katanya.

rujukan : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *