Blog

TERENGGANU GONDOL IKON PELANCONGAN TERBAIK NEGARA

Ariffin (dua dari kanan) menerima anugerah pelancongan negara mewakili kerajaan Terengganu.

SELANGOR, 27 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) telah berjaya merangkul dua hadiah di Malaysia Tourism Council Gold Awards 2019.


Anugerah Majlis Pelancongan Malaysia di sebuah hotel ternama di Selangor kelmarin termasuk ‘Drawbridge’ dengan merangkul Anugerah Utama Kategori ‘Best New Tourism Icon’, disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Isham Ishak, mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain itu, Kerajaan Negeri  juga telah telah meraih Anugerah ‘Most Popular Tourism Activity’ (Candat Sotong), merupakan aktiviti utama pelancongan Negeri Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, yang ditemui selepas menerima kedua-dua anugerah itu  berkata, anugerah ini membuktikan usaha-usaha Kerajaan Negeri Terengganu melalui Tourism Terengganu dengan kerjasama TI Properties dan pemain pelancongan dalam mempromosikan Drawbridge sebagai mercu tanda utama pelancongan negeri telah berhasil.


“Sehingga hari ini, pengunjung berbayar ke Drawbridge telah mencecah angka 27,553 orang selepas dikenakan tiket sejak 15 September lalu.
“Pelbagai aktiviti promosi dan program juga telah dirangka oleh Tourism Terengganu dan TI Properties pada tahun 2020 bagi menambah lagi kedatangan pengunjung ke Drawbridge seperti Pertandingan Kolek Drawbridge, Lumba Perahu Layar dan Pertandingan Layang-Layang Sedunia serta acara tahunan iaitu Tower Run di samping Pertandingan Triathlon iaitu berlari, kayuh basikal dan berenang _across outer basin_ di Drawbridge. 

“Ini semua tidak termasuk lawatan media dan agensi pelancongan yang telah dan akan diadakan secara berkala. Semoga dengan pelbagai pengisian termasuk pembukaan restoran di menara ‘Drawbridge’ akan dapat dijadikan daya penarik pelancong ke Negeri Terengganu,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)b Alur Limbat berkata,  taklimat khas mengenai ikon pelancongan baru (Drawbridge) akan diberikan kepada media luar negara semasa penyertaan Negeri Terengganu dalam ‘World Travel Mart’ di London iaitu program pelancongan terbesar di dunia pada awal November ini.
Mengulas Anugerah ‘Most Popular Tourism’ Program Candat Sotong Terengganu Ariffin menjelaskan bahawa, program itu sememangnya berjaya menarik perhatian semua pelancong dalam dan luar negara dengan keistimewaan aktiviti mencandat sotong di sekitar bulan April sehingga Julai setiap tahun. 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Encik Ab Rasid Jusoh berkata, acara yang mempunyai keunikannya  tersendiri itu telah dimasukkan sebagai aktiviti utama Visit Malaysia 2020 dan akan dilancarkan di daerah Marang pada awal April depan.


Ketika ditanya mengapa candat sotong begitu popular di kalangan pelancong beliau menjelaskan, mereka membayar untuk merasai pengalamannya ( ‘They pay for the experience’).


Katanya, selain daripada dua anugerah yang dimenangi oleh Kerajaan Negeri, Mimpi Perhentian Resort Sdn Bhd juga telah memenangi Anugerah Best Island Resort.


“Dengan kejayaan pelancongan Terengganu dalam meraih anugerah ini, adalah diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada semua pihak terutamanya agensi dan pemain pelancongan dalam menjadikan Negeri Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” ujarnya.

sumber : teganukite.net

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *