Blog

Seni Boleh Ubat Penyakit?

Seni adalah sesuatu yang bersifat estetika. Alam pasti menjadi kelam dan suram jika hidup tanpa karya seni. Kepelbagaian hasil seni dapat mewarnai kehidupan dan menjadikannya lebih bermakna, terbuka dan indah.

Sedar atau tidak, seni bukan sahaja untuk dipamerkan dan dipersembahkan di khalayak, malah berguna bagi individu yang memerlukan hasil seni sebagai satu kaedah rawatan psikologi dan fizikal atau lebih tepat lagi dikenali sebagai ‘terapi seni’ iaitu terapi bersama seni.

Terapi seni adalah dua perkataan yang berbeza. Terapi bermaksud rawatan sesuatu penyakit fizikal, mental dan emosi secara proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan. Proses ini pasti menjanjikan ketenangan yang nyata.

Seni pula adalah suatu luahan kreativiti serta memerlukan keunggulan daya cipta manusia seperti seni lukis, seni ukir, seni bina, seni dalam bidang penulisan, seni fotografi, seni media visual dan sebagainya.

 

Menurut Persatuan Terapi Seni Amerika, terapi seni adalah satu profesion kesihatan mental yang menggunakan proses kreatif dalam lukisan untuk menambah baik serta menyempurnakan keadaan fizikal, mental dan emosi individu di pelbagai peringkat usia. Dengan hasil gabungan lukisan, corak, penggunan ton warna ia pasti dapat merawat minda pesakit dan sekaligus menstabilkan emosi individu yang melihat hasil karya tersebut.

Konsep terapi seni ini diteliti secara berasingan dari sudut seni dan terapi tetapi masih dalam satu konteks yang tidak boleh dipisahkan. Hal ini kerana, seni itu sendiri mendamaikan pada mata-mata yang melihatnya sesuai dengan matlamat utama proses terapi itu sendiri iaitu menenangkan minda dan emosi pesakit. Benarlah, seni dan terapi itu saling melengkapi antara satu sama lain.

Hal ni kerana, hasil seni seperti lukisan digunakan sebagai alat perantaraan penting untuk membantu, merawat, memulih permasalahan tingkah laku dan kesihatan mental seseorang. Bidang utama terapi seni ini sering digunakan dalam bidang psikologi, kaunseling serta psikoterapi. Antara cara pelaksanaan terapi seni adalah melalui teknik lukisan, catan, kolaj, montaj, cetakan, gosokan, garisan, percikan, dan juga stensil.

Tambahan pula, pendekatan terapi seni dapat mengekang isu-isu psikososial seperti yang biasa dikesan dalam kes jenayah juvenil, penderaan seksual, pesakit yang menghidap penyakit Human Immunodeficiency Virus (HIV), barah, masalah keluarga, penjenayah, trauma dan sebagainya. Jika anda menderita trauma mental atau gangguan emosi, terapi seni ini boleh menjadi pilihan alternatif yang sesuai untuk membantu anda seperti sedia kala.

Terapi ini berasaskan keyakinan bahawa proses kreatif seperti menggambar, melukis, atau karya-karya lain kesenian bersifat menyembuh dan menguatkan kehidupan manusia. Bagi sesetengah orang, trauma psikologi amat sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Oleh itu, terapi seni boleh menjadi satu kaedah untuk meluah dan menggambarkan emosi dan perasaan mereka yang terlalu menyakitkan jika diungkapkan dengan kata-kata.

 

Dengan mengikuti sesi terapi seni, pesakit akan diminta menggambarkan dan mengeluarkan pemikiran serta emosi terpendam mereka melalui karya seni. Gambaran ini kebiasaannya dalam bentuk lukisan, gambar, seni pahat atau kraftangan daripada tanah liat. Pakar terapi akan mengajak pesakit menghasilkan karya ciptaan sendiri.

Melalui proses ini, minda pesakit akan berfikiran secara terbuka mengenai segala emosi dan perasaan terpendam dalam diri mereka. Melalui analisis hasil seni mereka, seseorang boleh meluahkan perasaan dan menyelesaikan masalah dengan cara inovatif bagi mengatasi rasa takut dalam diri sendiri.

Selain itu, kanak-kanak yang masih baru mengenal erti kehidupan dan belum pandai menunjukkan perasaan dengan kata-kata juga boleh menzahirkan emosi mereka melalui kaedah ini. Ibu bapa sekarang perlu memantau situasi dan keadaan sekeliling anak-anak mereka khususnya dalam kalangan anak kecil.

Ibu bapa juga disarankan menggunakan kaedah terapi seni sebagai satu proses pembelajaran dan meluah perasaan supaya anak-anak dapat meluahkan emosi serta apa terbuku di hati mereka dengan kaedah lebih santai. Misalnya, anak-anak mereka boleh melepaskan luahan perasaan melalui lukisan yang bakal dilukiskan dan ibu bapa akan dapat meneka perasaan mereka melalui lukisan yang diterjemahkan. Hal ini merupakan proses mengenal masalah melalui kaedah lukisan yang terbuku dalam lubuk pemikiran individu tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *