Blog

SAYANGI MALAYSIA, SAYANGI BATIK !

Tahun ini genaplah Malaysia menyambut kemerdekaan yang ke 62. Seperti tahun-tahun yang lain, Hari Kebangsaan pada tahun ini tidak ketinggalan dalam mempamerkan logo dan tema kemerdekaan yang baru. Pada tahun ini, tema Hari Kebangsaan yang dipilih oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada 24 Julai 2019 ialah Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih. Manakala logo untuk tahun ini seperti di bawah :

Sumber Google

Berbicara soal kemerdekaan, tak lekang daripada mengingati tokoh-tokoh yang terlibat dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah suatu ketika dahulu. Pengorbanan mereka tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dalam menuntut kemerdekaan amat dikagumi. Mereka bukan sahaja berkorban nyawa bahkan berkorban harta benda demi erti sebuah kemerdekaan. Namun adakah generasi muda kini menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya ?

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat bagi penduduk Tanah Melayu kerana pada tarikh tersebut merupakan satu sejarah bagi penduduk Tanah Melayu dalam menuntut kemerdekaan. Oleh itu, pada 31 Ogos setiap tahun merupakan cuti umum. Tujuannya agar semua penduduk dapat bersama meraikan Hari Kebangsaan dan dalam masa  yang sama mengingati para pejuang yang telah gugur di medan peperangan bagi memastikan anak bangsa pada masa kini tidak lagi berada di bawah cengkaman penjajah. Antara mereka yang terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan ialah :

1. TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA

Ibarat kata pepatah Melayu ”Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra. Sepanjang hayatnya, Tunku telah menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin yang berwibawa dalam pelbagai bidang, seorang pejuang yang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Penglibatan menentang Malayan Union, mengemudi kepimpinan UMNO melalui perubahan slogan dari Hidup Melayu kepada Merdeka, mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu telah membuktikan kepimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu merasa terhutang budi kepada Tunku – Bapa Kemerdekaan.

2. TUN SIR HENRY H.S LEE

Ketokohan, pengorbanan dan jasa Tun Sir Henry H.S. Lee dalam mencapai perpaduan kaum dan kemerdekaan negara amat terserlah dan perlu dikenang selama-lamanya. Beliau memainkan peranan yang penting dalam penubuhan MCA, perancang utama penubuhan perikatan UMNO-MCA, penentang komunis di zaman darurat dan merupakan pejuang negara semasa menuntut Kemerdekaan Malaya. Apabila Malaya merdeka, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan antara tahun 1957 hingga 1959. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau telah menjadi salah satu kebanggaan negara.

3. TUN V.T. SAMBANTHAN

Tun V.T. Sambanthan merupakan seorang pejuang daripada masyarakat India yang dilahirkan pada 16 Jun 1919 di kawasan pedalaman di Sungai Siput, Perak. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik menjadi Presiden Kongres India Malaya ketika berusia 36 tahun. Kemudian Tun V.T. Sambanthan dilantik menjadi menteri penuh dalam pelbagai kementerian. Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh Tun V.T. Sambanthan terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan dari segi kemudahan kepada rakyat serta semangat patriotisme pada masa itu.

4. RENTAP

Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Pada tahun 1853, beliau merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke. Rentap atau nama sebenarnya Libau menjadi ketua pahlawan Iban di Skrang dan Sariba. Gelaran Rentap yang bermaksud Ensumbar dalam bahasa Iban atau membuat dunia bergegar diberikan kepada Libau selepas beliau memenggal kepala musuh dalam perang pertamanya.

5. MAT SALLEH

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

6.TOK JANGGUT

Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke paras dada adalah seorang pahlawan Melayu yang terkenal di Kelantan. Dilahirkan pada 1853, beliau ialah seorang penentang penjajahan British semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British di Kelantan. Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang berjaya menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.

7. MAT KILAU

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau amat mahir di dalam ilmu kebatinan, persilatan dan bermain senjata. Beliau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati oleh penduduk negeri Pahang. Segala cabaran yang berjaya dilalui oleh Mat Kilau semasa menentang pihak British membuatkan pelbagai pihak menyanjung tinggi kepahlawanan beliau.

8. DATO’ MAHARAJA LELA PANDAK LAM

Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam ialah seorang pembesar kelapan Perak yang berketurunan Daeng Salili. Beliau adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran “Dato’ Maharaja Lela Tan Lela”, dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Pandak Lam kemudian mengetuai perjuangan menentang British di Perak dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British Perak.

9. HAJI ABDUL RAHMAN ABDUL HAMID
Haji Abdul Rahman Abdul Hamid atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Limbong atau Abdul Rahman Limbong merupakan salah satu nama besar dalam sejarah Melayu Terengganu.

Selain memimpin gerakan yang dikenali sebagai “Pemberontakan Tani Terengganu”, Tok Limbong juga terkenal sebagai seorang ulama dan pendakwah yang dihormati, ahli perniagaan dan pengusaha yang berjaya dan seorang petani yang gigih.

Beliau juga pernah tampil untuk membela sekumpulan pejuang yang dilabel Inggeris sebagai pemberontak dan penderhaka raja. Tok Limbong mendalami ilmu keagamaan selepas dihantar oleh keluarganya ke Mekah.

10. ANTANOM
Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915. Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan “Masinpunon” sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah ” Pengayau “.

Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya.
Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman.

Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu.

Begitulah, pengorbanan yang telah dilakukan tokoh-tokoh pejuang tiada tolok tandingnya. Hasil semangat dan keazaman mereka maka Malaysia telah berjaya mengecapi kemerdekaan sehingga ke hari ini. Diharap generasi kini mempunyai jiwa patriotisme yang tinggi dan menghargai pengorbanan nenek moyang yang terdahulu.

Sumber : utmkskptdsite.wordpress.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *