Blog

PELABUR DIPELAWA MAJUKAN PULAU BEBAS CUKAI TASIK KENYIR

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman (tengah) diiringi Pengerusi Eksekutif Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Ariffin Wan Long (kiri) ketika merasmikan Pertandingan Piala Batik Arfa 2019 di Kompleks Kraf Noor Arfa, Chendering. – NSTP/Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memberi peluang kepada syarikat swasta memajukan Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir, Kuala Berang, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata pelawaan itu adalah sebahagian daripada kertas cadangan mengenai projek pembangunan Pulau Bayas yang akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat EXCO dalam tempoh terdekat.

Katanya, jawatankuasa khas ditubuhkan dan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh akan membentangkan hasil kajian kepada mesyuarat EXCO dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini kerajaan sudah membelanjakan kira-kira RM200 juta untuk projek pembangunan di pulau berkenaan.

“Saya dimaklumkan, kemajuan projek pembangunan untuk jadikan Pulau Bayas sebagai Pulau Bebas Cukai hanya dalam 77 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan penyampaian hadiah Pertandingan Piala Batik Arfa 2019 sempena Festival Batik Ganu Kite 2019 di Noor Arfa Craft Complex (NACC) di Chendering, di sini, hari ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, isu utama menyebabkan kerajaan bercadang membentuk jawatankuasa khas mengkaji projek itu disebabkan kontraktor tidak mampu menyiapkan menyiapkan projek seperti ditetapkan.

Katanya, kerajaan negeri meminta syarikat swasta yang bercadang memajukan pulau itu mengemukakan kertas cadangan untuk dipertimbangkan.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji dan mengeluarkan garis panduan mengenai persembahan hiburan.

Jelasnya, garis panduan itu termasuk berkaitan dengan penetapan kawasan minum arak oleh masyarakat bukan Islam.

“Garis panduan mengenai dasar hiburan itu akan diwartakan selepas diputuskan pada mesyuarat EXCO,” katanya.

sumber : Berita Harian

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *