Blog

‘Koleksi Batik Hitam Putih’ (Utusan Online)

Oleh FATIEHAH/ WAHIDAH ZAINAL

© Utusan Melayu (M) Bhd

 

Pertunjukkan fesyen dan persembahan artis pada pertandingan Jarum Berlian 2014 di Busana MARA

Batik merupakan salah satu bentuk seni dalam dunia tekstil khususnya di bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Kebanyakan kain batik sangat popular dengan motif dedaun dan bunga-bungaan dan sangat jarang menggunakan motif haiwan kerana berlandaskan ajaran Islam, adalah haram menjadikan haiwan sebagai hiasan dekorasi.

Selain daripada corak tumbuh-tumbuhan, sesetengah corak batik juga mengetengahkan motif geometri bagi menjadikannya sedikit berbeza dengan batik Jawa yang mana batik Malaysia bercorak lebih besar dan ringkas.

Bersempena dengan Pertunjukan Fesyen Pertandingan Jarum Berlian 2014 yang diadakan baru-baru ini, pengusaha batik terkenal Malaysia iaitu Noor Arfa telah mengeluarkan koleksi terbaharu yang berkonsepkan inai iaitu batik hitam putih Henna.

Perekanya, Ibra Abdul telah menghasilkan 10 motif inai untuk koleksi terbaharu ini. Menggunakan warna asas hitam dan putih, menjadikan busana ini lebih eksklusif dan tampak mewah.

Konsep inai dipilih kerana pemakaiannya kini telah menjadi trend terbaharu terutama buat bakal pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan.

Corak inai yang juga banyak menggunakan motif tumbuh-tumbuhan telah mencetuskan inspirasi buat pereka muda ini untuk melahirkan idea bagi rekaan batik eksklusif Noor Arfa.

Keunikan dan keindahan seni lukis inai yang dipadankan dengan busana daripada material batik serta menggunakan warna hitam putih menjadikan koleksi ini sesuai dipakai untuk ke pelbagai acara.

Tambahan pula perincian seperti manik dan labuci menambahkan lagi nilai keanggunan yang ada pada koleksi batik Henna daripada Noor Arfa ini.

Selain itu, Noor Arfa turut menyediakan koleksi sedia pakai atau ‘ready to wear’ dengan pilihan kaftan, jubah, blaus, kemeja, kain pasang dan pario.

Usaha daripada pengeluar batik nombor satu di negara ini mahu mengadaptasi pakaian daripada kain batik supaya menjadi pakaian harian dilihat bakal berjaya direalisasikan melalui koleksi istimewa ini.

Corak inai pada kain batik yang dihasilkan menggunakan teknik canting ini mendapat sentuhan moden dan kontemporari agar dapat digayakan oleh semua golongan dan peringkat umur.

Rekaan eksklusif ini bakal dikeluarkan pada Februari ini bersempena koleksi rekaan berkonsep yang julung kali dikeluarkan oleh Noor Arfa.
– FATIEHAH/ WAHIDAH ZAINAL

http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/fesyen/koleksi-batik-hitam-putih-1.41501

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *