Blog

Jatuh Bangun Industri Batik

Industri Batik Malaysia menghadapi satu rintangan besar berpunca daripada persepsi individu yang ingin mencapai agendanya sendiri. Umumnya, rakyat Malaysia yang sayangkan negara sendiri sebagai tanah tumpah darah sepatutnya memiliki rasa menghargai batik tempatan sebagai khazanah seni warisan budaya dan kraftangan yang sudah lama bertapak di negara ini. Penjelmaannya dalam masyarakat tempatan sejak dahulu adalah terhasil daripada perkembangan kehalusan budaya dan pemikiran Melayu yang diamalkan dan bermanfaat dari satu generasi ke satu generasi.

Penghasilan batik di Malaysia seharusnya dihayati signifikannya. Sokongan dan penghargaan daripada pelbagai pihak sewajarnya wujud secara spontan dalam kalangan warga tempatan. Pemahaman tentang ilmu, budaya, seni dan kraftangan batik dalam kalangan masyarakat tempatan melalui pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi yang sedia ada sudah mencukupi bagi menyedarkan semua pihak menghayati dan menghargai seni kraftangan batik khususnya.

Corak, teknik, kebolehan, kemahiran, tekun dan kreativiti berupaya menghasilkan batik yang menarik, cantik dan berkualiti. Untuk menghasilkan batik yang cantik dan menawan adalah tertakluk kepada beberapa faktor. Pertama, cost and effect. Hasil batik akan menjadi lebih cantik dan berkualiti sekiranya material yang digunakan bermutu tinggi.  Material yang baik tentu harganya lebih mahal.

 

Hasil batik yang mempunyai corak dan jalinan pada ruang dan rupa boleh menghasilkan spectacle. Hasil batik yang mencapai tahap ini pasti membawa implikasi harga yang lebih mahal. Adalah tidak adil untuk pengusaha batik yang menghasilkan batik dengan melibatkan proses yang panjang dan secara teliti dijual dengan harga yang murah. Hal ni akan membawa kepada time and effect.   Walaupun pengusaha batik mengejar kuantiti pengeluaran tetapi kualiti dan identiti batik tetap dipertahankan sebagai kraftangan warisan Melayu.

Bukan mudah menghasilkan batik tanpa ilmu dan kemahiran. Seseorang pelukis memerlukan kemahiran yang tinggi dalam melakar corak batik dengan menggunakan canting dan lilin panas. Lilin tersebut akan terus keluar melalui muncung canting bagi menghasilkan corak pada satah kain. Sekiranya ia dilukis dengan menggunakan pen, pensil, atau mana media lain, lebih mudah kerana boleh dipadam sekiranya ada kesilapan.  Corak daripada mencanting tidak boleh dipadam. Kalau tersilap corak itu akan rosak.

Terdapat banyak batik yang cantik dan menawan dalam pasaran.  Pengeluar atau pengusaha batik yang berdaya saing telah mengkaji dan menghasilkan pelbagai jenis batik bagi memenuhi selera pelanggan. Hasil daripada perkembangan ilmu dengan wujudnya institusi pengajian tinggi awam dan swasta menggalakkan lagi kreativiti Batik Malaysia menghasilkan corak yang dapat memenuhi selera pelanggan. Berbekalkan ilmu pengetahuan, pendedahan dan kreativiti, batik Malaysia mengorak ke hadapan dengan menjelmakan motif, corak dan teknik yang pelbagai.

Batik lukis menjadi milik dan kebanggaan semua. Menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan kesinambungannya dengan pelbagai pendekatan seperti pemakaian batik, sebaran maklumat, bahan promosi dan sokongan moral. Setiap warganegara perlu berfikir dan berpegang kepada jati diri yang mantap dan berwawasan. Mereka perlu berfikir dan bertindak untuk peluang yang perlu dibuka dan diterokai pada masa hadapan. Sekiranya pelancong negara lain boleh menghormati dan menyukai batik Malaysia, kenapa tidak kita?

Pengusaha batik seharusnya mendapat sokongan daripada semua pihak samada kerajaan, swasta atau individu dengan menyedari bahawa batik adalah satu-satunya warisan dan identiti yang perlu disokong dan dikekalkan. Pengusaha juga sewajarnya membuat kajian pasaran secara strategik tentang cara menghasilkan dan memasarkan produk batik secara meluas dan berkesan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *