Blog

Batik Search – Zuraida Terima Anugerah Ikon Wanita 2019

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor menyifatkan Anugerah Ikon Wanita Noor Arfa 2019 yang diberikan kepadanya sebagai pengiktirafan terbesar dalam perjuangan mengangkat martabat wanita di negeri ini.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Noor Arfa kerana memberi anugerah yang sangat bermakna kepadanya yang masih baharu dalam kepimpinan dan politik negeri.

“Pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan terhadap diri saya yang masih lagi mentah berbanding mereka yang lebih berpengalaman dan telah mencurahkan banyak jasa serta sumbangan kepada golongan wanita amat saya hargai.

“Anugerah ini sedikit sebanyak akan menjadikan saya lebih bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas dan menyumbang kepada rakyat serta saya doakan semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis minum petang di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd., Noor Hijerah Hanafiah dan wakil-wakil wanita dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu. Noor Hijerah berkata, anugerah ini adalah yang julung kali diperkenalkan syarikat pengeluar batik terbesar di Malaysia sebagai penghormatan terhadap peranan Zuraida dalam membawa suara wanita negeri ini ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebagai orang pertama yang dilantik sebagai ADUN Wanita Terengganu, pencapaian Zuraida mampu menjadi inspirasi kepada kaum hawa untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing di sebalik kesibukan sebagai ibu dan isteri.

“Beliau seorang wanita yang kuat bekerja untuk wanita Terengganu dan Islam, setiap kenyataannya juga menarik sebagai satu nasihat yang baik untuk kaum hawa,”ujarnya lagi.

Menurutnya, Noor Arfa sentiasa mengadakan majlis minum petang untuk menghargai NGO serta usahawan wanita sekali gus pemilihan Zuraida sebagai ikon pertama adalah amat bertepatan.

“Malah pihak kami juga merancang untuk menjadikan penganugerahan itu sebagai acara tahunan syarikat dengan mengangkat lebih ramai ikon-ikon wanita Terengganu yang berkelayakan,”ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *