Blog

BATIK SEARCH – DRAWBRIDGE TERENGGANU MULAI BEROPERASI

Drawbrigde merupakan salah satu projek mega di Terengganu yang boleh dibanggakan. Pembinaan jambatan unik ini adalah sebahagian daripada projek ECER yang membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara.

SUMBER FB MB TERENGGANU

Sebelum jambatan ini dibuka secara rasmi, pihak kerajaan negeri telah melaksanakan tempoh percubaan selama dua minggu bermula dari 2 Jun hingga 17 Jun lalu bagi memastikan jambatan yang telah siap pada 31 Mei lalu selamat digunakan oleh orang awam.

Menurut kenyataan Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sudah menambah baik beberapa kelemahan dalam aspek keselamatan dan kelancaran trafik ketika ia dibuka untuk tempoh pengujian sistem selama dua minggu dari 2 hingga 17 Jun lalu.

“Setakat ini, tiada masalah dan semuanya berjalan lancar. Bermula 1 Ogos ini, ia sudah boleh dibuka kepada semua kenderaan seperti yang dirancang sebelum ini dan kita boleh menyaksikan trafik yang lebih baik selepas itu.

“Mengenai nama dan pelancaran rasmi pula, kita masih belum putuskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kad Sejahtera Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman hari ini.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

SUMBER GOOGLE

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal, bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Tambahan beliau lagi, drawbridge Kuala Terengganu akan dibuka semula kepada orang awam pada 1 Ogos 2019 jam 6.00 pagi.

Semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat ini tetapi pengguna tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan atau berhenti kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.

Para pengunjung yang ingin melawat diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif. Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator. Pada masa ini, pihak kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan kepada pasukan operator Terengganu Incorporated Sdn Bhd sehingga 30 September 2019.

SUMBER GOOGLE

Semoga pembukaan jambatan ikonik ini akan memberi impak kepada sektor pelancongan Negeri Terengganu seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan negeri ini di mata dunia.

Saya berharap agar agensi pelancongan dapat memasukkan lawatan ke jambatan angkat ini dalam salah satu pakej lawatan pelancong ke Terengganu, selain produk pelancongan sedia ada.

Sumber myterengganu.com &  FB YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *