Blog

Batik Search : 10 Destinasi Menarik Yang Patut Anda Lawati Di Terengganu

Negeri cantik, budaya menarik, itulah kata-kata yang digunakan untuk menggambarkan sebuah negeri yang terletak di pantai timur, Terengganu Darul Iman. Negeri ini bukan sahaja kaya dengan hasil laut, malahan ianya sebuah destinasi pelancongan yang cukup lengkap sekali pakejnya, berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Pulau-pulaunya, pantai-pantainya yang indah-indah belaka, memang tak akan habis berjalan kalau datang beberapa hari sahaja. Mungkin anda perlukan lebih daripada sebulan untuk merasai kesemua nikmat keindahan alam yang ditawarkan di negeri yang terkenal dengan keropok lekor dan penyu ini.

Bukan setakat itu, negeri ini turut kaya dengan warisan tradisional yang dijaga dengan baik sekali. Memang rugi kalau anda dan keluarga tidak datang untuk melihat dengan mata sendiri peninggalan bersejarah yang terdapat di sini.

Yang syoknya lagi, di sini anda dapat melihat bermacam gaya hasil-hasil seni fabrik warisan kebangsaan, mana taknya, di negeri inilah batik dan sutera banyak dihasilkan.

Sungguh menarik sekali tarikan-tarikan yang ditawarkan oleh negeri Terengganu, keunikan alam semula jadinya, budayanya, sejarahnya, malahan makanan tradisionalnya pun menjadi daya tarikan.

Nak memudahkan anda merancang perjalanan apabila ke Terengganu nanti, di sini Noor Arfa senaraikan 10 tempat menarik di Kuala Terengganu beserta lokasi-lokasi yang perlu anda lawati di negeri ini, kalau tak singgah, teringat-ringat, kalau singgah, terkenang-kenang.

Pantai Batu Buruk

Terletak di Bandar Kuala Terengganu. Pantai Batu Buruk ini sangat terkenal dengan kemeriahannya. Di sekitar pantai ini juga terdapat banyak tempat makan bukan sahaja restoran-restoran makanan segera, malahan masakan enak hasil laut Terengganu juga banyak.

Kalau anda teringin nak makan ikan celup tepung, keropok, sate ikan dan bermacam lagi, datanglah ke Pantai Batu Buruk. Yang syoknya lagi, anda boleh menaiki kereta kuda yang dihias cantik mengalahkan kereta kuda cerita Cinderella. Tak percaya? Pergi dulu, baru tahu.

Taman Awam Lagun Kuala Ibai

Pernah dengar tentang Masjid Terapung? Di sinilah terletaknya masjid itu. Taman ini terletak di teluk Sungai Ibai yang memiliki banyak aliran sungai yang menjadi tarikan bagi kaki pancing.

Untuk bermandi-manda juga ini merupakan lokasi yang agak selamat, apa lagi yang difikirkan, bawalah anak-anak anda ke sini. Yang bestnya lagi, ada gerai-gerai yang menjual sate ikan, keropok dan lain-lain yang boleh anda nikmati sambil berseronok bersama keluarga di taman ini.

Pasar Kedai Payang

Sebuah pasar yang setaraf pasar seni kalau di Kuala Lumpur ini amat terkenal dalam kalangan pelancong. Kalau anda nak membawa pulang buah tangan hasil Terengganu datang lah ke Pasar BKedai Payang.

Terdapat bermacam produk yang dijual di sini seperti sutera, songket, batik, periuk belanga, makanan hasil laut Terengganu seperti keropok, rempah nasi dagang ikan masin dan banyak lagi. Gambar pertama merupakan Pasar Payang lama, gambar yang kedua ialah Pasar Payang baru juga terletak berhampiran tapak lama.

Kompleks Kraf Noor Arfa

Kompleks Kraf Noor Arfa ini memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Sebuah lokasi yang perlu dilawati untuk mengenali dan melihat dengan lebih dekat lagi keindahan dan keunikan seni batik Malaysia.

Juga dikenali sebagai Batik Pavilion Terbesar Malaysia. Kerana memiliki pelbagai jenis produk batik dari kain sarung sampai lah baju ready to wear. Suasana mall yang kondusif  ini menjanjikan pengalaman membeli yang menarik dan pasti nak datang lagi. Di kompleks ini juga anda boleh lihat demostrasi pembuatan batik, anyaman dan arca kaca.

Kampung Losong

Terletak hanya 10 minit perjalanan dari Bandar Kuala Terengganu adalah Kampung Losong. Kampung Losong ini terkenal sebagai lokasi pilihan ramai untuk membeli makanan tradisional Terengganu yang tak lain tak bukan keropok lekor.

Di sini memang banyak sekali pilihan gerai keropok lekor yang semuanya memang sedap-sedap belaka. Kawasan ini turut diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor di Terengganu.

Begitu ramai orang yang membeli keropok lekor di sini sehingga dianggarkan sekitar 500 kg keropok lekor yang berjaya dijual dalam sehari apabila tiba musim cuti sekolah. Kawasan jualan keropok lekor ini juga terletak tidak jauh dari Muzium Negeri Terengganu dan Taman Tamadun Islam.

Taman Tamadun Islam

Destinasi yang wajib dilawati di mana anda dapat melihat rekaan bangunan yang terkenal dalam dunia Islam. Taman Tamadun Islam menampilkan 21 replika bangunan yang dibina disini seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Kubah As Sakhrah, Kota Lama Islam Aleppo, Istana Alhambra dan banyak lagi.

Sebuah lokasi yang menarik untuk menambahkan ilmu pengetahuan anak-anak tentang Islam yang bukan sahaja membawa kesejahteraan malahan kemajuan dalam pelbagai aspek.

River Cruise TTI

Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di Taman Tamadun Islam adalah menyusuri sungai di Pulau Wan Man. Dengan menaiki bot, anda dapat menikmati pemandangan indah termasuk Masjid Kristal dan Taj Mahal dari sudut yang indah sekali.

Masa yang diambil dalam perjalanan menaiki bot cruising ini adalah sekitar 45 minit. Antara destinasi yang dilalui oleh bot dari TTI ini adalah Muzium Negeri, Pulau Sekati, Pulau Haji Siah, Pulau Api, Seberang Takir, Pulau Duyung, Pulau Warisan dan banyak lagi.

Masjid Kristal

Masjid yang terletak di Pulau Wan Man ini memakan bajet sekitar RM23 juta untuk dibina menggunakan hanya besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini memiliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia.

Waktu terbaik untuk menangkap gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya matahari yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini yang dibuat daripada material yang memantulkan cahaya.

Bukit Besar

Di sinilah terletaknya tulisan ikonik di Terengganu iaitu ‘Allah Peliharakanlah Terengganu.’ Ramai yang menjadikan Bukit Besar sebagai destinasi untuk berekreasi dengan cara berjalan mendaki ke atas bukit ini untuk menikmati keindahan Terengganu dari puncaknya.

Anda dapat melihat Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan kecantikan Sungai Terengganu dari sini.

Dapo Pata

Nak makan di tempat yang lain daripada yang lain? Datanglah ke Kontena Uptown ataupun digelar Dapo Pata Uptown. Di sini, terdapat banyak kafe yang dibuat daripada kontena, rekaan dalamannya juga agak kreatif dan berkonsepkan hipster.

Rekaan gerai-gerai di sini memang up-to-date sebab kewujudan Kontena Uptown ini agak baru sebenarnya. Memang syoklah kan dapat makan sambil merasakan tiupan angin Laut China Selatan di tepi pantai.

6 thoughts on “Batik Search : 10 Destinasi Menarik Yang Patut Anda Lawati Di Terengganu

  1. Ahmad says:

    Wow! Tak tahu pulak Terengganu ada tempat macam ni!

    1. noorarfa says:

      Haa, menarik kan, nanti try lah jalan-jalan sana

  2. Asma says:

    Semua Dah Pergi!

    1. noorarfa says:

      Wow! Hebat

  3. Hamizah Zaki says:

    Dengar-dengar Pasar Payang dh takde kat tempat biasa tu.. Pindah ke mana tu?

    1. noorarfa says:

      ke sebelah je, tempat sama lagi tapi lebih selesa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *