Blog

Jom Buat Batik

Alat dan Bahan yang diperlukan:

  1. Material (kain) dari jenis kapas, rayon, sutera dan linen.
  2. Canting sebagai alat melukis motif.
  3. Pemidang sebagai tempat untuk menghampar kain dengan keadaan tegang.
  4. Dapur untuk mencairkan lilin dan rozin
  5. Warna cecair

Terdapat beberapa peringkat dalam menghasilkan batik lukis, peringkat tersebut dimulakan dengan menggunakan bingkai (frame) yang kecil dahulu. Kaedah menghasilkan batik lukis amat mudah tetapi memerlukan disiplin dan ketekunan. Berikut adalah proses untuk menghasilkan lukisan batik lukis.

Melakar reka corak dengan pensil lembut pada permukaan kain di pemidang mengikut selera dan idea masing-masing, samada flora fauna, semi abstrak, geometrikal atau organik dengan cara spiral, gelombang, susunan batu-bata dan sebagainya.

Melukis dengan lilin malam menggunakan canting pada lakaran pensil yang telah dilukis tadi.  Sila pastikan semua RUPA reka corak yang dilukis hendaklah bercantum untk memastikan ruang yang diwarnakan nanti tidak merebak keluar dari corak tersebut.

Sapukan cecair warna (dyestuff) mengikut selera pelukis dengan menggunakan berus cina (lebih mudah).  Padankan warna supaya kelihatan menarik.

Setelah kering, sapukan pemati warna (Sodium Silicate) pada permukan kain yang telah diwarnakan tadi dan tunggu sehingga kering selama 2 hingga 3 jam.

Setelah cukup masanya, kain tersebut dikeluarkan daripada bingkai dan basuhkannya. Hal ini bermakna warna pada kain telah dimatikan dan ia tidak akan luntur lagi.

Rebuskan kain tersebut untuk memisahkan lilin pada kain dengan memasukkan sedikit serbuk soda. Keringkan dan gosokkannya. Pasangkan pada bingkai cermin untuk dijadikan sebagai hiasan dinding.

Perkara yang perlu diberi perhatian adalah penggunaan canting dan keselamatan.  Lilin yang diceduk dengan canting adalah panas dan perlu berhati-hati supaya dapat mengelakkan kecederaan. Lilin panas tersebut akan jadi sejuk setelah melakukan beberapa lakaran dan perlu bertukar ganti. Lakukannya secara berulang kali sehingga lukisan batik lukis dapat diselesaikan dengan puas hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *