Blog

Batik VS Tekstil

Batik merupakan hasil seni kraftangan yang dicipta untuk digunakan oleh orang ramai pada asasnya. Namun, dalam karya batik jugak terdapat hasil lukisan, corak dan warna untuk dinikmati dan dihayati oleh masyarakat. Hal ini kerana, karya-karya batik itu sendiri mengandungi nilai-nilai estetika yang mengasyikan. Ia digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni dalam mencipta bentuk yang indah dan menarik hati. Penciptaan kraftangan ini memerlukan keahlian dan kecekapan dalam penggunaan bahan-bahan asas yang teratur sejak dari proses awal hinggalah sesuatu hasil kraftangan itu tercipta. Proses penciptaan seni kraftangan batik ini memerlukan daya estetika demi memberikan reka bentuk yang indah dan menarik.

Mengekalkan identiti batik sebagai seni tekstil yang dihasilkan melalui proses menerapkan lilin dan mencelup kain merupakan satu langkah bijak dan bernilai serta perlu disokong oleh kerajaan. Ia adalah satu-satunya seni warisan yang perlu dilestarikan sebagai warisan yang tidak ternilai. Bahan dan tekniknya tidak perlu disesuaikan dengan kehendak masa sehingga tergadai maruah keaslian batik itu sendiri dengan menghasilkannya secara cetakan dan tidak berasaskan wax and resist.

Sekiranya ada usaha untuk merancakkan perniagaan jenis tekstil ini kerana memenuhi kehendak pasaran maka seharusnya perlu dielakkan daripada menggunakan nama BATIK. Hasil pencorakan pada kain yang tidak menggunakan bahan dan teknik ini adalah TEKSTIL bukannya BATIK.  Inilah yang harus difahami oleh umum.

Melalui Pekeliling Perkhidmatan Awam, kerajaan telah menetapkan supaya pegawai dan kakitangannya memakai pakaian BATIK pada setiap hari Khamis. Namun pelaksanaannya tidak berkesan kerana penjawat awam memakai pakaian TEKSTIL bukan BATIK. Tekstil ini dicetak dengan corak batik yang ditiru daripada hasil usaha pembatik tempatan. Suatu yang menyedihkan tekstil peniruan corak ini mendapat tempat di kalangan orang tempatan atas sebab murah. Secara tidak disedari kita memberi keuntungan berganda kepada negara pengeksport dan merugikan negara.

Pengusaha batik seharusnya mendapat sokongan daripada semua pihak samada kerajaan, swasta atau individu dengan menyedari bahawa batik adalah satu-satunya warisan dan identiti yang perlu disokong dan dikekalkan. Pengusaha juga sewajanya membuat kajian pasaran secara strategik tentang cara menghasilkan dan memasarkan produk batik secara meluas dan berkesan. Kita perlu mempelbagaikan produk batik dengan corak yang sesuai berpandukan permintaan dan citarasa semasa sekaligus menjadikan Malaysia sebagai Hab Batik serantau dan antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *